Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari-Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam

>> Isnin, Disember 28, 2009

1. TUJUAN

1.1 Garis Panduan ini disediakan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat Islam dalam menyertai majlis perayaan orang bukan Islam supaya tidak berlaku perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

1.2 Garis Panduan ini juga menjadi asas rujukan kepada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dalam menganjur majlis perayaan orang bukan Islam bersama dengan orang Islam supaya tidak berlaku perbuatan syubhat atau acara yang bercanggah dengan prinsip dan nilai-nilai Islam.

2. PENDAHULUAN

2.1. Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah mengadakan majlis-majlis perayaan sama ada di peringkat nasional, negeri, daerah dan lain-lain. Perayaan tersebut adalah Hari Raya Idul Fitri, Tahun Baru Cina, Depavali, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan juga Hari Krismas. Ia disambut melalui konsep penganjuran “rumah terbuka nasional”, bertujuan meningkatkan persefahaman dan sikap toleransi di kalangan masyarakat pelbagai kaum serta fahaman agama di negara ini.

2.2 Persoalan timbul di kalangan masyarakat Islam tentang apakah hukum turut merayakan perayaan agama lain. Ada pendapat yang mengatakan hukum merayakan hari perayaan agama lain adalah haram. Mereka bimbang perbuatan tersebut boleh menjejaskan akidah atau secara tidak langsung akan membawa kefahaman bahawa semua agama adalah sama.

2.3 Dalam mengatur hubungan antarabangsa, kaum dan agama di negara ini agar tidak menimbulkan kekeliruan dan prasangka dalam pergaulan khususnya bagi umat Islam, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam dalam muzakarahnya pada 1 dan 2 Oktober 1970 yang secara khusus menyentuh mengenai rumah ibadat telah memutuskan;

“Pembesar-pembesar Islam tidak boleh merasmi pembukaan rumah-rumah ibadat orang-orang bukan Islam kecuali difikirkan kalau tidak berbuat demikian akan mendatangkan perpecahan dan permusuhan kaum dengan syarat tidak menyertai upacara ibadat dengan mereka”

2.4 Pada dasarnya terdapat dua pandangan berbeza dari sudut hukum tentang orang Islam turut merayakan hari perayaan orang bukan Islam. Pandangan yang membenarkan orang Islam merayakan hari perayaan orang Islam adalah berdasarkan pandangan berikut;

i. Kekeliruan dari sudut hukum tentang merayakan hari perayaan agama lain atau dalan konteks masa kini “rumah terbuka nasional” adalah berpunca daripada fahaman yang kurang jelas terhadap maksud merayakan atau mengucapkan ucapan selamat hari kebesaran kaum lain itu. Jika maksud merayakan itu adalah ikut serta berhari raya, merelai kekufuran orang bukan Islam dan bermuamalah dengan mereka atas nama agama mereka ia adalah bercanggah dengan ajaran Islam.

Sebaliknya jika merayakan hari perayaan kaum lain sekadar hanya ikut bercuti pada hari itu atau menyertai perayaan mereka atas tujuan merapatkan perhubungan sesama manusia maka ia adalah diluar daripada konteks meraikan akidah mereka atau merelakan agama mereka. (Hukum Merayakan Perayaan Kaum-kaum Bukan Islam, Dr. Abdul Hayei bin Syukor, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya)

ii. Menurut Dr. Ahmad al-Syarbashi seseorang Islam yang turut menyertai hari perayaan orang bukan Islam setelah memastikan majlis yang dihadiri itu tidak mengandungi perbuatan yang bercanggah dengan akidah atau upacara yang bercanggah dengan ajaran Islam seperti penyajian arak dan sebagainya (Dr Ahmad al-Syarbashi, Yas`alunaka Fid Din Walhayah, hal 390, jilid 4, Darul Jail, Beirut).

2.5 Hukum yang melarang orang Islam turut merayakan perayaan orang bukan Islam berdasarkan pandangan berikut;

i. Abu al-Qasim Hibbatullah bin Al-Hussain bin Mansur al-Tabari berkata, tidak harus bagi orang Islam menghadiri perayaan orang bukan Islam kerana kemungkaran mereka. (Ibn Qayyim Al-Jauziyah, Ahkam Ahl al-Zimmah, jilid 1, hal 156, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut)

ii. Menurut Fatwa Lajnah Daaimah, kunjungan terhadap perayaan orang bukan Islam tidak boleh dilakukan kerana ia akan melibatkan orang yang melakukannya kepada dosa. (al-Syeikh Ahmad bin Abdul Razak, Fatawa al-Lujnah al-Da`imah lil Buhuth al-Ilmiah wal Ifta`, jilid 3, hal 436, Dar al-Muaiyyad, Riyadh)

2.6 Berdasarkan persoalan hukum tersebut maka pihak yang menganjurkan majlis tersebut perlu meneliti adakah perayaan yang dianjurkan mempunyai unsur agama atau semata-mata bercirikan kebudayaan. Kedua-dua unsur ini perlu diteliti dalam memastikan sambutan perayaan tersebut tidak menyinggung sensitiviti keagamaan terhadap orang awam yang menyertainya.

3. TAKRIF

3.1 Simbul

Maksud simbul dalam garis panduan ini adalah sesuatu yang mewakili sesuatu yang lain, lambang, tanda (Kamus Dewan).

3.2 Ciri

Maksud ciri dalam garis panduan ini adalah sifat (unsur, tanda) yang khusus pada sesuatu (yang membezakannya dengan yang lain) (Kamus Dewan).

3.3 Tunduk

Maksud tunduk dalam garis panduan ini adalah kepala atau muka condong ke hadapan (Kamus Dewan).

3.4 Upacara

Maksud upacara dalam garis panduan ini adalah majlis menurut adat (kebiasaan, agama), kermaian atau peralatan (menurut adat) (Kamus Dewan).

3.5 Budaya

Maksud budaya dalam garis panduan ini adalah tamadun, peradaban, cara berkelakuan (berfikir dsb), kemajuan (akal budi), kebudayaan (Kamus Dewan).

3.6 Dakyah

Maksud dakyah dalam garis panduan ini adalah penyiaran (penyebaran) sesuatu ideologi (doktrin, pendapat dsb) untuk mendapat sokongan, propaganda (Kamus Dewan).

3.7 Mempersenda

Maksud mempersenda dalam garis panduan ini adalah mempermainkan (dengan gurau senda), memperolok-olokkan, mengejekkan(Kamus Dewan).

3.8 Sensitiviti

Maksud sensitiviti dalam garis panduan ini adalah perihal perihal sifat mudah merasai sesuatu (mudah tersinggung, bergerak balas dsb (Kamus Dewan).

3.9 Kriteria

Maksud kriteria dalam garis panduan ini adalah beberapa ukuran (asas pertimbangan) untuk menentukan nilai (Kamus Dewan).

4. KRITERIA PERAYAAN ORANG BUKAN ISLAM YANG BOLEH DIHADHIRI OLEH ORANG ISLAM

4.1 Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam boleh dihadhiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;

4.1.1 Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.

Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.

Contohnya;

i. menyertakan simbul-simbul agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.

ii. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.

iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.

iv. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.

v. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.

4.1.2 Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.

Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.

Contohnya:

i. Memakai pakaian bewarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama;

ii. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya;

iii. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa;

iv. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.

4.1.3 Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam di negara ini.

Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan ahli sunnah wal jamaah.

Contohnya:

i. Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;

ii. Berpakaian yang menyolok mata;

iii. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan;

iv. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.

4.1.4 Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.

Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyingung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.

Contohnya:

i. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam;

ii. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;

iii. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam;

iv. Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.

4.1.5 Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.

5. PENUTUP

Sekiranya terdapat keraguan atau ketidakjelasan dalam mentafsir dan melaksanakan Garis Panduan ini hendaklah merujuk kepada;

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

Blok D7, Parcel D,

Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan

62502, PUTRAJAYA

Tel: 03-8886 4253

Fax: 03-8889 1993

sumber:http://www.islam.gov.my

Read more...

BAHAYA WAHABI

>> Isnin, Disember 21, 2009

GERAKAN Wahabi diasaskan Imam Muhamad bin Abdul Wahhab At-Tamimi (1703-1791). Beliau muncul ketika pengaruh mazhab Hambali sedang merosot dan umat Islam ketika itu melakukan pencemaran akidah seperti khurafat dan bidaah.Perkembangan fahaman berkenaan di Malaysia kebanyakan dibawa pelajar yang pernah menuntut ilmu agama di negara Arab yang terpengaruh dengan ajaran itu.Kehadiran golongan itu di sini dapat dirasakan berikutan ada pengikutnya berani mencerca ulama ahlu Sunnah Wal-Jamaah termasuk amalan sunat yang terdapat dalam ajaran Islam seperti doa qunut dan berzikir selepas solat.Aliran Wahabi ibarat api dalam sekam dan boleh mengancam negara dan menyebabkan umat Islam bergaduh sesama sendiri jika tidak dibendung pihak berkuasa agama di Malaysia.


Mereka juga seperti musuh dalam selimut kerana sukar untuk mengenal pasti golongan ini apatah lagi mereka turut hadir dalam majlis agama, bersolat di masjid atau surau dan tidak mengaku diri mereka pengikut ajaran Wahabi.
Bagaimanapun, secara halus mereka menyusup dalam kelompok masyarakat Islam di negara ini dengan menghina mazhab Ahlu Sunnah Wal-Jamaah yang menjadi rujukan umat Islam dengan membawa Islam mudah sehingga masyarakat keliru.Mazhab Ahlu-Sunnah dalam syariat beragama sangat penting bukan saja kepada umat Islam sendiri, malah seluruh masyarakat.Fahaman Wahabi turut menolak ijmak dan qias. Ijmak ialah persepakatan dalam hukum syarak di kalangan umat Islam dari satu zaman ke satu zaman selepas Nabi Muhamad s.a.w wafat.Ini jelas dibuktikan dengan firman Allah s.a.w yang bermaksud: "Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya) dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman. Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali." (Surah an-Nisaa', ayat 115).Jadi, wajib kita mengikut apa yang diputuskan ijmak kerana ia senarai yang ketiga terpenting daripada sumber perundangan Islam. Menurut Ahli Jawatankuasa Pemantauan Akidah dan Pentauliahan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Ustaz Mahfuz Mohamad, fahaman Wahabi bertapak di negara ini sejak awal tahun 1900 apabila Sheikh Abdul Hadi membuka sekolah agama di Melaka."Bagaimanapun, sekolah itu tidak mendapat sambutan dan beliau berpindah ke Pulau Pinang. Melalui sekolah itu lahir tokoh fahaman Wahabi iaitu Sheikh Abu Bakar al-Ashaari."Selepas menamatkan pengajian di sekolah terbabit pada tahun 1925 beliau menyambung pengajiannya di Mesir dan pulang ke negara ini pada tahun 1932."Beliau menyebar fahaman Wahabi di Pulau Pinang, tetapi mendapat tentangan hebat ramai tokoh ulama ahlu Sunnah, antaranya Sheikh Abdullah Fahim. "Beliau lari ke Kedah dan kemudian menetap di Perlis bagi menyebarkan fahaman Wahabi," katanya.Mahfuz berkata, ketika itu ia dinamakan fahaman muda atau mudah kerana mereka selalu bermudah-mudahan. Ini dicatatkan di dalam Kitab Senjata Syariat yang diterbitkan pada tahun 1953 khas bagi menjawab gerakan Wahabi oleh tiga tokoh ulama besar ketika itu: Sheikh Abdullah Fahim, Haji Ahmad Tun Hussein Pokok Sena dan Sheikh Abdul Rahman Abdullah Merbok. Abu Bakar as-Ashaari pernah menerbitkan buku bertajuk Ibadah Rasulullah s.a.w yang menimbulkan keraguan kerana 'menjelmakan' petua menghalalkan memakan biawak, ular, labi-labi dan penyu. "Di dalam buku itu, Abu Bakar as-Ashaari mencaci amalan bermazhab yang dikatakan haram dan bidaah dalal."Ulama ketika itu sudah memberi amaran bahawa gerakan Wahabi sudah menyusup dalam masyarakat dan perlu membendung segera," katanya.Hasil ketegasan ulama sebelum ini, fahaman Wahabi kian menyepi, tetapi kini muncul kembali berikutan banyak kelonggaran yang diberikan kepada sesiapa sahaja atas 'tiket' menyebarkan Islam."Golongan Wahabi tidak berpegang kepada mana-mana mazhab kononnya hanya berpegang kepada al-Quran dan hadis."Tetapi, sejarah membuktikan ramai tokoh tersohor Islam seperti Imam Nawawi, Imam al-Ghazali, Termidzi, Bukhari dan Muslim berpegang kepada mazhab yang empat itu," katanya.Katanya, tuduhan Wahabi terhadap beberapa amalan yang sudah menjadi kebiasaan masyarakat Islam di Malaysia seperti doa qunut, membaca al-Quran di atas kubur dan wirid selepas solat membuatkan umat keliru. Merujuk kepada buku Makna Sebenar Bid'ah : Satu Penjelasan Rapi yang dikarang oleh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari yang turut disemak oleh Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Murtadza Ahmad, Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya serta Yang di Pertua Persatuan Ulama Malaysia, Saleh Ahmad menyebutkan ulama bersepakat mengenai pembahagian bid'ah antara yang terpuji dan tercela. Orang pertama yang mengatakan demikian ialah Umar r.a.Ulama juga bersepakat bahawa sabda Rasulullah s.a.w yang menyebutkan: "Setiap yang bid'ah itu sesat" adalah hadis umum yang perlu dikhususkan.Imam al-Syafie berkata: "Setiap yang mempunyai sandarannya dari sudut syarak, bukannya bid'ah sekalipun tidak diamalkan oleh generasi salaf. Mereka meninggalkan perkara itu mungkin kerana keuzuran."Al-Imam Ibn Lub dalam menyangkal pendapat golongan yang tidak menyenangi amalan berdoa selepas sembahyang mengatakan perkara berkenaan tidak diamalkan generasi salaf. Namun, tidak mungkin mengatakan hukumnya haram atau makruh kerana perkara yang dilakukan itu mempunyai asas dalam syarak. Mengenai amalan membaca wirid beramai-ramai selepas sembahyang. Memang ia tidak pernah berlaku pada zaman Nabi s.a.w, tetapi tidak haram. Sesiapa yang mendakwa amalan ini diharamkan bererti dia melakukan pembohongan atas nama Allah s.w.t.Pengharaman amalan itu tidak disebut dalam al-Quran dan al-Sunnah.Hadis Muslim yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah menyebutkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Tidaklah berkumpul satu kaum di dalam rumah Allah sambil membaca al-Quran dan mengulangkaji antara sesama mereka melainkan turunlah kepada mereka ketenangan, dan mereka diliputi oleh rahmat dan dinaungi oleh malaikat, dan Allah menyebut perihal mereka kepada makhluk yang di sisiNya."Hadis ini memberikan kefahaman bahawa membaca al-Quran secara beramai-ramai di dalam masjid adalah disyariatkan.Dalam Sahih Muslim terdapat juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asya'ari daripada nabi s.a.w yang bersabda yang maksudnya: "Selalulah membaca al-Quran, demi Dia Yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, al-Quran itu lebih mudah terlepas (hilang) daripada unta yang diikat." (Muslim. Kitab Salah al-Musafirin (231/791).Kesimpulannya, dari segi tauhid, fahaman Wahabi bukan ajaran baru atau termasuk antara 73 cabang ajaran sesat, cuma ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam masyarakat Islam kerana pendekatan yang diambil terlalu mudah tetapi bahaya.INFOAmalan dalam fahaman Wahabi antaranya:
Dalam mempelajari ilmu Usuludin hendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan Ibnu Taimiyyah
Di dalam amalan fiqh pula tidak berpegang kepada mana-mana mazhab, malah boleh berpegang antara satu sama lain (Talfiq)
Berpegang kepada sumber al-Quran dan hadis sahih sahaja tanpa berpegang kepada Ijmak dan Qias
Melarang keras umat Islam berdoa melalui tawassul (perantaraan)
Melarang ziarah kubur walaupun makam Rasulullah s.a.w
Menghancurkan tugu peringatan kerana semua itu menjadikan umat Islam syirik
Melarang membaca qasidah dan berzanji yang memuji Rasulullah s.a.w. tahlil dan seumpamanya
Melarang umat Islam mengadakan sambutan hari kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Israk Mikraj dan lain-lain
Melarang umat Islam belajar sifat 20 dan seumpamanya
Fahaman Asa'ari iaitu fahaman Ahlu Sunnah Wal-Jamaah dibuang jauh-jauh
Imam dilarang membaca Bismillah pada permulaan Fatihah
Tidak boleh membaca wirid-wirid yang memuji Rasulullah s.a.w
Tidak boleh melagu-lagukan lafaz al-Quran dan laungan azan, tetapi boleh baca dengan lurus sahaja
Mengadakan majlis zikir secara berjemaah dilarang
Amalan tariqah dilarang sama sekali
Amalan berwirid selepas solat berjemaah dilarang keras

Read more...

Majlis Maal Hijrah

>> Selasa, Disember 15, 2009


Kepada: Semua Rakyat Malaysia di Kuwait

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Tuan-tuan & Puan-puan,

Saya dengan hormatnya ingin merujuk e-mail pihak Kedutaan bertarikh 14 Disember 2009 mengenai perkara di atas.

2.  Memandangkan hari Jumaat, 18 Disember 2009 merupakan awal tahun baru Islam (Awal Muharram), pihak Kedutaan dan Persatuan Rakyat Malaysia di Kuwait telah bersetuju untuk menangguhkan Hari Keluarga bersama rakyat Malaysia kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

3.    Pada masa yang sama, pihak Kedutaan ingin menjemput semua rakyat Malaysia di Kuwait yang beragama Islam dan keluarga masing-masing untuk ke majlis Maal Hijrah pada tarikh seperti berikut:

 Hari : Khamis
 Tarikh : 17 Disember 2009
 Tempat : Games Room, Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait


Aturcara majlis adalah seperti berikut:

4.30 pm  :    Ketibaan para hadirin

4.40pm  :     Bacaan doa akhir tahun

               :    Solat Magrib (pada 17 Disember 2009, waktu Magrib adalah pada jam 4.52 pm)

              :     Doa awal tahun / Solat sunat hajat
  
              :     Jamuan ringan

7.00pm  :   Majlis bersurai


4. Pihak Kedutaan memohon kerjasama dan jasa baik tuan-tuan dan puan-puan untuk memajukan maklumat di atas kepada rakyat Malaysia yang mungkin tidak mendapat e-mail ini. Semoga kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekeluarga dapat memeriahkan lagi majlis tersebut.

Sekian, terima kasih.

Salam mesra,

(FAIRUZ ADLI MOHD ROZALI)
Kedutaan Besar Malaysia
Kuwait

Read more...

Majlis Hari Keluarga bersama Rakyat Malaysia

>> Isnin, Disember 14, 2009






 

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Tuan-tuan & Puan-puan,

Pihak Kedutaan Besar Malaysia dengan kerjasama Persatuan Rakyat Malaysia di Kuwait dengan hormatnya ingin menjemput semua warganegara Malaysia yang berada di Kuwait bersama keluarga masing-masing ke Majlis Hari Keluarga bersama Rakyat Malaysia yang akan diadakan pada hari Jumaat, 18 Disember 2009 dari jam 3.30pm - 7.00 pm di perkarangan bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait.

Semoga kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekeluarga dapat memeriahkan lagi majlis tersebut.

Sekian, terima kasih.

(FAIRUZ ADLI MOHD ROZALI)
Kedutaan Besar Malaysia
Kuwait

Read more...

SALAM DIHULUR , MAAF DIPOHON

>> Sabtu, Disember 05, 2009


"Apakah yang sanggup dikorbankan untuk cinta?"Itulah tagline sebuah drama Islamik yang dicanang sebagai drama bersiri paling ramai ditonton dalam sejarah pembikinan drama di Malaysia.Tema pengorbanan yang diangkat Nur Kasih ternyata telah memberi impak yang besar pada penonton.Banyak yang dapat Serunai pelajari melalui kisah setianya si isteri terhadap si suami sehingga sanggup mengorbankan apa saja.Erti pengorbanan sebenarnya luas dan meliputi segenap penjuru hidup kita.Apatah lagi bagi mereka yang bergelar pelajar luar negara seperti ahli Impemas perlu banyak berkorban demi keluarga,bangsa dan agama.Bertepatanlah dengan sambutan Hari Raya Aidiladha atau juga dikenali dengan Hari Raya Korban ini makna pengorbanan itu haruslah lebih lagi difahami bagi menghadapi cabaran yang mendatang.


Bertempat di Saahah Alam (Dataran Bendera) pada hari raya ketiga telah diadakan sebuah program sambutan Hari Raya Aidiladha oleh Impemas.Program yang mengambil tema " SALAM DIHULUR , MAAF DIPOHON" itu telah dipengerusikan oleh Sdr Ikhwan.Dimulai dengan bacaan ayat-ayat suci AL-Quran oleh Sdr. Hizqel dan diikuti ucapan alu-aluan dari Presiden,Sdr. Abdussalam.
Majlis berpindah ke segmen tazkirah yang bertajuk Sejauh Manakah Pengorbanan Kita Sebagai Seorang Anak dan Pelajar disampaikan oleh Sdr. Che Ameir Hamdi.Walaupun aura penceramah tidak sehebat ketika beliau bergelar khatib di kedutaan semasa hari raya tempoh hari namun percubaan pertama ini boleh dikatakan menjadi.Bolehlah daripada tiada langsung.Biarpun antipati ceramahnya ringkas tetapi pengertiannya padat dan bernas.Tersentak Serunai apabila diingatkan penceramah yang mati itu terlalu dekat dengan kita.Cuma kita sahaja yang leka dan belum bersedia menghadapinya.Mati tidak mengenal siapa,jangan kerana kita masih muda dan cute membuatkan kita menangguh memperbanyakkan amalan untuk bersedia menghadapinya.

Seterusnya majlis beralih ke permainan Minda Hebat yang dikendalikan oleh Sdr. Farhan dan Sdr. Qamar.Peserta dikehendaki memegang anggota yang ditelah diberi klu terlebih dahulu.Sebagaimana kata penganjur,permainan ini boleh dimanfatkan semasa menghafal dengan mengaitkan hafalan dengan objek lain yang lebih mudah dengan kita.Dan tanpa kita sedar cara sebeginilah yang telah digunakan oleh musuh-musuh Islam membiasakan kita dengan perkara-perkara haram.



Majlis diakhiri dengan ucapan hari raya dari semua ahli.Selesai solat Zuhur berjemaah,bermulalah aktiviti membakar ayam.Di sini,Serunai dapat lihat semangat kerjasama yang ditonjolkan oleh ahli.Tidak lupa juga mereka yang telah bertungkus-lumus disebalik tabir program ini khususnya persediaan memasak yang memerlukan kesabaran dan masa yang lama.Serunai sempat meninjau Sdr. Shahril dan Sdr. Syamsul bersekang mata menyediakan ayam dan masakan.Ada beberapa perkara yang Serunai lihat tidak patut berlaku semasa program ini berjalan.Dan Serunai yakin kelemahan-kelemahan yang berlaku kali ini tidak akan berulang lagi di masa akan datang.

Read more...

susunan mengikut kategori

  © blog Ikatan Mahabbah Pelajar Malaysia Kuwait adalah rekaan semula khas daripada ibnu_zainal 2009/2010

Back to TOP