Bercakap tentang keperibadian atau akhlaq, maka contoh termulia dan sempurna adalah Rasulullah . Sebagaimana kata 'Aisyah Radhiyallahu 'Anha :
( كَانَ خُلُقُهُ القُرْءَان )
Maksudnya : " Akhlaqnya (Rasulullah ) adalah Al-Quran ". [HR Ahmad : no.24645]
23 tahun lamanya Baginda terdidik dan mendidik para sahabat dengan kalamullah yang sempurna ini. Jadi tidak mustahil, pengaruh Al-Quran telah mengubah taraf hidup arab dari kekufuran kepada keimanan dan dari kekasaran kepada kelembutan.
Melihat situasi abad ke-20, jauh berbeza. Masyarakat yang kononnya, berbangga dengan kemajuan teknologi, ekonomi, pembangunan dan sebagainya ini, ternyata ketinggalan akhlaqnya. Mereka seolah-olah di zaman arab jahiliyyah yang telah mengenal Islam, tetapi tidak mahu menerimanya. Samalah mereka ini dengan Abu Lahab, Abu Jahal dan sesiapa yang sekongkol dengannya.
Lebih menyedihkan, masalah ini berlaku di kalangan penuntut ilmu, di mana mereka ini merupakan tunas harapan masyarakat. Kerosakan akhlaq berada ditahap kritikal, sukar untuk dibendung melainkan masing-masing saling bekerjasama memurnikannya. Sayangnya ada di antara mereka menyalahkan yang lain. Ini merupakan sikap bodoh sebahagian penuntut ilmu, di mana ia telah membantutkan usaha mulia ini. Usah saling menunding jari : " Kau pengkhususan syariah, aku pengkhususan kedoktoran ", atau " Kau pengkhususan tarbiyyah, aku pengkhususan fiqh ". Apakah di akhirat kelak, manusia dikumpulkan mengikut pengkhususan pengajiannya ? Doktor bersama doktor, Ustaz bersama Ustaz, Jurutera bersama jurutera ? Tentunya tidak ! Ini merupakan tanggungjawab kita bersama ! Tanggungjawab mereka yang bergelar umat Muhammad ! Mana mungkin kita mengharapkan pertolongan dari Allah, jika kita tidak menunaikan perintahnya, sebagaimana sabda Nabi :
( احْفَظِ الله، يَحْفَظُك )
Maksudnya : " Peliharalah (perintah serta larangan) Allah, nescaya Allah memelihara kamu ". [HR. At-Tirmidzi : no.2516 ]
Jadi kertas kerja ringkas ini disusun dengan harapan supaya penuntut-penuntut ilmu sedar akan kerosakan akhlaq yang telah mencemari kedaulatan status mereka, serta berganding bahu menyelesaikannya. Di sini penyusun senaraikan beberapa pencemaran akhlaq di kalangan penuntut ilmu yang perlu dibasmi segera. Moga Allah meredhai usaha ini. Amin.
MASALAH
Solat
i. Solat berjamaah
a. Meninggal solat berjamaah
Ramai antara kita memandang remeh soal solat berjamaah. Bahkan, ada di antara kita, dengan sikap "kering" atau (lebih popular) "poyo", berlalu di hadapan masjid ketika azan berkumandang ! Tiada lagi keinginan untuk menyahut panggilan bilal : (حَيَّ عَلى الصلاة). Mungkin tidak mendengar azan kerana telinga dihiasi dengan mp3 player atau handphone canggih, mengumandangkan lagu-lagu yang mungkin lebih tinggi ganjaran pahalanya di sisi Allah !!
Lebih memalukan lagi, di antara mereka yang menggunakan tandas masjid dan keluar ketika azan berkumandang. Sedangkan Nabi memerintah Ibnu Ummi Maktum yang buta supaya menghadiri masjid, apatah lagi kita yang celik dan memiliki jam tangan canggih serta tepat waktunya seperti Rado, Swatch, Casio dan sebagainya. Bahkan memiliki catatan waktu solat.
Jika ada hal penting yang tidak dapat dielakkan, mungkin boleh dimaafkan, tetapi jika hal ini berlarutan, tiada lagi maaf bagimu.
Inilah sikap yang kita contohi dari kaki lepak di jalan Tunku Abdul Rahman atau Bukit Bintang. Ketika azan, dada-dada dipenuhi asap rokok@syisha, bukan iman ! Ketika azan, jari jemari sibuk dengan sms, bukan zikir menjadi sebutan ! Ketika azan, mata-mata menikmati kecantikan bidadari palsu yang lalu lalang ! Subhanallah, bukan lagi untuk memuji Allah, masyaAllah bukan lagi mengiqrar kekuasaan Allah, sebaliknya lafaz-lafaz mulia ini menjadi adat pertuturan manusia yang menilai peraga pakaian terkini sekitar kawasan universiti.
Beberapa alasan diberi untuk tidak menghadiri solat berjamaah :
- Sunat jer, bukan wajib
- Solat jamaah kat rumah, itukan jamaah namanya
b. Hadir solat berjamaah untuk tujuan lain
Ada di kalangan kita juga, sentiasa menghadiri solat jamaah. Satu sikap yang perlu dicontohi. Tetapi, sayangnya, terdapat antara mereka, yang hadir ke masjid dengan tujuan mencari-cari siapa yang tidak hadir, kemudian saling mengenyangkan perut dengan daging saudaranya. Sikap sebegini bukan sahaja berdosa, bahkan boleh menimbulkan permusuhan sesama sendiri. Ingat pesanan Nabi :
( إِنْ اتَّبَعْتَ عَوْرَاتِ النَّاسِ أَفْسَدْتَهُمْ أَوْ كِدْتَ أَنْ تُفْسِدَهُمْ )
Maksudnya : " Sekiranya kamu mencari-cari kesalahan (kelemahan) manusia, nescaya kamu akan merosakkan mereka, atau kamu hampir menyebabkan kerosakan mereka ". [HR Abu Daud : no.4888]
Tetapi jika, mencari sesiapa yang tidak hadir untuk dinasihati, maka perbuatan sedemikian amat dituntut oleh syara'.
ii. Meninggalkan solat
Satu masalah yang amat ditakuti. Tidak hairanlah, jika ini dilakukan oleh penjenayah-penjenayah, tetapi, apa yang terjadi adalah sebaliknya. Ianya dilakukan oleh penuntut ilmu ! Solat berjamaah sama sekali tidak pernah hadir, disusuli pula dengan sikap meningalkan solat yang merupakan ciri-ciri golongan yang dikafirkan oleh Nabi iaitu meninggalkan solat !! Takutlah kamu kepada sabda Nabi :
(الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ الصَّلَاةُ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ )
Maksudnya : " Petunjuk yang membezakan antara kita dan mereka (orang kafir) adalah solat, barangsiapa yang meninggalkannya, maka dia kafir ". [HR At-Tirmidzi : no.2621]
Mungkin boleh dimaafkan, jika jam loceng berbunyi tanpa disedari. Tetapi jika jam dikunci pada pukul 7 pagi, adakah alasan tidak bangun solat subuh diterima ? Sikap sengaja, jelas menunjukkan bahawa kita memandang remeh soal solat ! Ini solat ! Bukan biskut chips more, kejap ada, kejap tak dak ! Perkara yang membezakan antara kekufuran dan keimanan pun telah di pandang remeh, apatah lagi perkara yang hanya membabitkan kesemurnaan amalan. Sudah tentu ditinggalkan. Maka bagaimana keruntuhan moral dapat diselesaikan, jika masalah solat belum disempurnakan ?
RESOLUSI DAN LANGKAH PENYELESAIAN
Masalah yang berkaitan dengan solat
- Kempen solat dan solat berjamaah
- Nyatakan At-Targhib Wa At-Tarhib tentang solat
- Jangan pandang remeh masalah solat
Read more...